Wakaf berasal dari perkataan Arab: waqafa. la membawa berbagai pengertian, antaranya: berhenti, menegah dan menahan. Dari segi istilah, wakaf ialah menahan harta yang bermanfaat, serta kekal fizikalnya, untuk diberikan pada jalan kebaikan dengan tujuan mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) adalah merupakan pemegang amanah tunggal bagi semua wakaf yang diwujudkan di negeri-negeri. Seksyen 61 Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505) telah menyatakan sebagaimana berikut:
Walau apa pun apa-apa peruntukan yang bertentangan yang terkandung dalam mana-mana suratcara atau perisytiharan yang mewujudkan, mengawal, atau menyentuh perkara itu, Majlis hendaklah menjadi pemegang amanah yang tunggal bagi semua wakaf, sama ada wakaf am atau wakaf khas, semua nazr 'am, dan semua amanah daripada segala perihal yang mewujudkan apa-apa amanah khairat bagi menyokong dan memajukan agama Islam atau bagi faedah orang-orang Islam mengikut Hukum Syarak, setakat mana-mana harta yang tersentuh olehnya dan terletak di dalam Wilayah-Wilayah Persekutuan dan, jika pemberi harta itu atau orang lain yang mewujudkan amanah, wakaf atau nazr 'am itu telah berdomisil di Wilayah-Wilayah Persekutuan, setakat semua harta yang tersentuh olehnya di mana-mana jua harta itu terletak.
Justeru, sebarang pelaksanaan dan pengurusan wakaf hendaklah terlebih dahulu mendapatkan kebenaran daripada MAIN. Merujuk Akta 505, di bawah seksyen 61, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) berperanan sebagai pentadbir wakaf yang secara umumnya bertanggungjawab memelihara, membangun dan menguruskan harta wakaf di Wilayah-Wilayah Persekutuan.
Mesyuarat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Kali Ke-160 Bil.3/2022 yang telah bersidang pada 23 Ogos 2022 dan telah diperkenankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 1 Oktober 2022 bersetuju bahawa pengurusan kutipan wakaf tunai am dan wakaf tunai khas di Wilayah Persekutuan diserahkan kepada Harta Suci Sdn. Bhd. (PPZ- MAIWP) bagi tempoh tiga (3) tahun berkuatkuasa pada 1 Disember 2022.
Dalil Pensyariatan
لَنْ تَنَالُوا الْبِرَّ حَتّٰى تُنْفِقُوْا مِمَّا تُحِبُّوْنَ ۗوَمَا تُنْفِقُوْا مِنْ شَيْءٍ فَاِنَّ اللّٰهَ بِهٖ عَلِيْمٌ
Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.
مَثَلُ الَّذِيْنَ يُنْفِقُوْنَ اَمْوَالَهُمْ فِيْ سَبِيْلِ اللّٰهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ اَنْۢبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِيْ كُلِّ سُنْۢبُلَةٍ مِّائَةُ حَبَّةٍ ۗ وَاللّٰهُ يُضٰعِفُ لِمَنْ يَّشَاۤءُ ۗوَاللّٰهُ وَاسِعٌ عَلِيْمٌ
Bandingan (infak) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi serafus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi meliputi ilmu pengetahuanNya.
عَنْ اَبي هُـرَيْـرَةَ رَضِـَي اللهُ عَنْهُ ؛ أنّ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : اِذاَ ماَتَ الإنسان اِنْقَطَعَ عنه عَمَلُهُ اِلاَّ مِنْ ثَلاَثٍة : إلا من صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ اَوْعِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ اَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُوْ لَه
Apabila mati seorang manusia, segala amalannya akan terputus kecuali dari tiga perkara, sedekah jariah (wakaf) atau ilmu pengetahuan yang boleh dimanfaatkan atau anak soleh yang mendoakannya.
حَدَّثَنَا عُبَيْدُ بْنُ إِسْمَاعِيلَ، حَدَّثَنَا أَبُو أُسَامَةَ، عَنْ هِشَامٍ، عَنْ أَبِيهِ، عَنْ أَسْمَاءَ بِنْتِ أَبِي بَكْرٍ ـ رضى الله عنهما ـ قَالَتْ قَدِمَتْ عَلَىَّ أُمِّي وَهْىَ مُشْرِكَةٌ، فِي عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم، فَاسْتَفْتَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قُلْتُ إِنَّ أُمِّي قَدِمَتْ وَهْىَ رَاغِبَةٌ، أَفَأَصِلُ أُمِّي قَالَ نَعَمْ صِلِي أُمَّكِ
Dilaporkan oleh Nafi r.a dan Ibn Umar r.a berkata: Saidina Umar telah diberikan sebidang tanah di Khaibar, beliau kemudian datang kepada Nabi saw dan berkata: Saya telah diberikan dengan sebidang tanah (di Khaibar) yang merupakan kekayaan yang paling berharga bagi saya. Apakah arahan kamu untuk saya? Nabi menjawab, Sekiranya kamu mahu, peliharalah asalnya, dan sedekahlah denqan manfaatnya. Beliau (Saidina Umar) akan mendermakan (wakaf) tanah itu dengan syarat ja tidak boleh dijual, tidak boleh hibah kepada orang lain dan tidak boleh diwarisi. Tanah itu akan digunakan oleh orang miskin, kaum kerabatnya, hamba-hamba, fisabilillah, tetamu dan musafir. la sepatutnya tidak menjadi masalah bagi orang-orang yang mentadbir harta wakaf tersebut dan menguruskan tanah (aset wakaf) untuk mengambil gaji yang munasabah daripada aset wakaf tersebut atau memberi makan kepada rakan beliau dengan tidak mengkayakan diri melalui harta daripadanya.
Adakah artikel ini mempunyai maklumat yang anda cari?
Kongsikan dengan pengguna lain.